Thursday, February 12, 2009

Waris Sunan Kalijaga



KLANG, 14 Mac 2005 -- Waris Kesultanan Raja Jawa atau Kerajaan Islam Demak yang melarikan diri ke Semenanjung Malaysia akibat ancaman penjajah Belanda di Indonesia dipercayai menetap di Klang.

Sekumpulan 10 lelaki yang dikatakan daripada keluarga Bani Hashim dari tanah Arab dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama berkata, waris Raja Jawa itu, yang dikenali sebagai Kanjeng Gusti Prabu Ageng Raja Masrek Syah berumur 65 tahun kini menetap di Kampung Jawa di sini.

Kumpulan itu berkata kenyataan itu adalah benar berdasarkan salasilah keturunan mereka sebagai penyebar agama Islam di nusantara termasuk di Indonesia sejak abad ke-11 dan hubungan mereka dengan Istana Jawa di Jogjakarta, Indonesia.

Jurucakap kumpulan itu, Ahmad Suffian Nordin berkata Raja Masrek Syah adalah daripada keturunan Raden Mas Said (Sunan Kalijaga), cucu kepada Raden Kormo Wijoyo dan anak kepada Raden Korto Joyo yang lahir daripada salasilah wali sembilan atau Wali Songo seperti yang dikenali oleh penduduk Jawa.

Terdapat kira-kira 400 ahli keluarga Bani Hashim yang aktif di Malaysia malah keturunan itu juga wujud di Singapura dan Indonesia dan sering mengadakan perjumpaan keluarga dan ada kalanya diberi liputan di dada akhbar dan majalah di negara ini.

"Tujuan kami mendedahkan perkara ini ialah bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa keturunan Raja Jawa ini masih wujud dan berada di Malaysia. Malah perkara ini diketahui oleh alim ulama dan pemerintah di Indonesia sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kisah mengenai `Putera Raja Yang Hilang' bermula apabila bapa Raden Mas Said, Raden Kormo Wijoyo mengarahkan anaknya melarikan diri ke Tanah Melayu pada tahun 1900 untuk meneruskan kesinambungan keluarga Raden Kormo Wijoyo serta meneruskan amanat agung keluarga mereka.

Raden Kormo Wijoyo merantau ke beberapa negeri di Semenanjung iaitu Johor dan Perak sebelum menetap, berkahwin dan meninggal dunia di Selangor dengan hidup sebagai rakyat biasa tanpa menggunakan nama asal `Raden' tetapi nama lain iaitu Isa Abdul Salam dan Yushak Abdul Salam. Cucunya Raja Masrek Syah sendiri lahir di negara ini, katanya.

Antara bukti yang boleh menjadi sandaran terhadap dakwaan itu ialah Raja Masrek Syah masih menyimpan bukti-bukti lain sebagai tanda pewaris Kerajaan Islam Demak seperti Keris Sabuk Inten, Keris Nagasasro, Tombak Kyai Pelaret, Sapu Jagat dan lain-lain yang tidak mampu dimiliki manusia biasa.

Berdasarkan pengetahuan turun-temurun orang Jawa, raja ketujuh selepas Raden Mas Said ialah raja yang mampu memberi keamanan dan penyatuan di kalangan rakyat dan umat manusia sendiri tanpa mengira bangsa dan agama.

Pendedahan itu tertulis di kitab tua Jawa, Kitab Joyoboyo dari Ronggrowe.

Ahmad Suffian berkata kumpulan 40 orang daripada keluarga Bani Hashim yang membuat lawatan ke Jogjakarta dari 10 hingga 14 Dis 2002 terkejut apabila diberi penghormatan sebagai keluarga diraja.

"Kita diberi penginapan dan kemudahan kerana dipercayai pemangku raja Jawa sekarang, Sultan Hamengkubuwono ke-10 mengetahui kehadiran kami di sana.

"Raja Masrek Syah bersama isteri juga mengunjungi Sultan Hamengkubuwono di istananya," katanya sambil menunjukkan gambar kedua-dua pasangan itu semasa lawatan itu.

Selain pita video yang ditayangkan untuk Bernama, mereka juga memberi risalah-risalah, bendera sendiri selain mewujudkan laman web Banimasrek.com bertujuan memberi kefahaman yang lebih kepada masyarakat yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai perkara itu.

Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan itu Jamdali Yusoff berkata mereka bersedia berbincang dengan pihak lain sekiranya ada yang berminat atau mahu memastikan kebenaran mengenai pendedahan itu dengan menemui mereka sendiri.

Ahmad Suffian dan Jamdali boleh dihubungi di talian 019-3333834 atau 016-6293733.

- BERNAMA

Keterangan Foto : Lawatan Kanjeng Gusti Prabu Ageng Raja Masrek Shah (dua dari kiri) waris keluarga Bani Hashim yang mempunyai hubungan Kesultanan Raja Jawa atau Kerajaan Islam Demak bergambar dengan Pemangku Raja Jawa Raja Amengkubuwono ke-10 di Jogjakarta. Terdapat kira-kira 400 anggota keluarga Bani Hashim yang aktif di Malaysia malah keturunan itu juga wujud di Singapura dan Indonesia dan sering mengadakan perjumpaan keluarga.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez