Tuesday, November 11, 2008

Hang Li Po

Hang Li Po ialah salah seorang permaisuri kepada Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka, 1456 - 1477). Walaupun kita menerima hakikat bahawa beliau merupakan puteri kepada Maharaja Yong Le, maharaja Dinasti Ming di China, namun tidak terdapat sebarang rujukan (di dalam sejarah Istana China) bahawa beliau adalah puteri dalam Dinasti tersebut.

Sesetengah catatan sejarah (Ming Chronicles), bahawa 'Su-tan Wang-Su-Sha' (Sultan Mansur Shah) telah mengirimkan rombongan ke China dan Maharaja T'ien-shun (1457-1464) yang menabalkan baginda sebagai sultan pada 1459 (bukan Maharaja Yong Le). Di dalam buku 'Sejarah Melayu', karya Tun Seri Lanang, hanya dicatatkan 'Raja Cina' (tiada nama khusus).

Apabila Sultan Mansur Shah hendak menjalin hubungan diplomatik dengan China, baginda menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya, dengan sepucuk surat untuk Maharaja China. Tun Perpatih berjaya menarik hati Maharaja tersebut dengan kemasyhuran dan kegemilangan Kesultanan Melaka sehingga Maharaja menghadiahkan puterinya, Li Po (dikenali juga sebagai Hang Liu), untuk dijadikan isteri Sultan.

Ada kemungkinan Li Po hanyalah anak perempuan salah seorang pegawai Istana China. Menurut sejarawan Cina, ini untuk memberikan imej yang tinggi kepada sultan kerana kesudian Maharaja itu memberikan puterinya. Mereka berpendapat, Maharaja China yang konservatif berkemungkinan besar tidak akan memberikan puterinya kepada seorang pemerintah di tempat yang jauh.

Sebagai contoh, orang Tibet menyangka raja mereka, King Sonten Gampo 'memaksa' Maharaja China menghadiahkan puterinya semata-mata untuk mewujudkan keamanan antara kedua negara. Cerita dari pihak China pula mengatakan bahawa 'puteri' yang dikatakan itu cuma seorang dayang di istana (diplomatic trick). Jadi, tidak mustahil sekiranya helah yang sama digunakan terhadap Sultan Mansur Shah. Ia juga mungkin sebagai tipudaya dalam usaha untuk menghalang Raja-Raja Siam menyerang wilayah takluk Melaka. Siam tentu tidak berani kerana Sultan Melaka ketika itu adalah menantu Maharaja China yang memiliki empayar luas!

Namun begitu, semuanya adalah spekulasi semata-mata. Tiada rekod (dalam Sejarah Dinasti) yang boleh dirujuk bagi mengiyakan atau menidakkan kenyataan ini.

Li Po datang ke Melaka bersama-sama 500 orang pengiring perempuan dan selepas memeluk agama Islam, berkahwin dengan Sultan Mansur Shah. Selepas perkahwinan mereka, Sultan Mansur Shah membina sebuah istana untuk Li Po, dengan pengiring-pengiringnya diberikan tempat tinggal yang tetap di Bukit Cina. Pengiring-pengiring Li Po kemudian berkahwin dengan pegawai-pegawai Sultan Mansur Shah. Dari sinilah berkembangnya golongan ‘baba’ dan ‘nyonya’. Li Po kemudian dikenali sebagai Hang Li Po selepas dianugerahkan dengan gelaran "Hang" oleh Sultan Mansur Shah.

Perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Paduka Mimat. Ada sejarah mengatakan Paduka Mimat telah meninggal dunia dalam satu kejadian amuk di pekan. Ada pula catatan bahawa Paduka Mimat mempunyai putera, Paduka Ahmad iaitu ayahanda kepada Paduka Isap. Ada pula pandangan bahawa generasi berikutnya mempunyai kaitan rapat dengan golongan kerabat Diraja Selangor.

Saturday, August 9, 2008

Kesultanan Maguindanao

Kesultanan Maguindanao diasaskan sekitar 1205. Ibu negerinya adalah Marawi. Manakala bahasa rasmi adalah Bahasa Arab. Bahasa lain yang menjadi pertuturan rakyatnya pula adalah Maguindanao, Malay, Maranao, Manobo dan Tagalog. Agama rasmi pula, Islam. Pada tahun 1616, ia di bawah pemerintahan Sultan Dipatuan Kudarat.

Kesultanan Muslim Filipino ini memerintah sebahagian pulau-pulau Mindanao di Selatan Filipina. Mengikut sumber, pengaruhnya bermula dari Semenanjung Zamboanga sehingga ke Teluk Sarangani. Ketika kemuncak pemerintahan kesultanan ini, ia juga merangkumi seluruh pulau Mindanao dan juga pulau-pulau berdekatan.

Shariff Mohammed Kabungsuwan yang berasal dari Johor memperkenalkan Islam di kawasan ini pada penghujung abad ke-12. Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang puteri berbangsa tempatan dan mewujudkan Kesultanan Maguindanao (sekitar 1203-05). Pusat pemerintahan adalah di Lembah Cotabato (lihat peta).

Sultan yang paling terkenal adalah Muhammad Dipatuan Qudratullah Nasiruddin, lebih dikenali sebagai Qudarat. Cucu baginda, Abd al-Rahman meningkatkan lagi pengaruh dan kuasa Kesultanan tersebut. Setelah kedatangan dan penaklukan Sepanyol (Spain), dan kawasan ini menjadi koloni negara tersebut sekitar 1800an, kesultanan tersebut lenyap begitu saja.

Tidak mustahil seandainya masih ada 'Raja Menangis' iaitu pewaris sebenar keturunan tersebut tetapi pengaruh mereka langsung sudah tiada...

Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu adalah sebuah kerajaan Muslim yang pernah suatu masa dahulu menguasai Laut Sulu di Filipina Selatan. Kerajaan ini didirikan pada tahun 1450. Ketika zaman kegemilangannya, negeri ini telah meluaskan sempadannya dari Mindanao sehingga ke negeri Sabah.

Sekitar 1450an, seorang Arab dari Johor
iaitu Shari'ful Hashem Syed Abu Bakr tiba di Sulu. Pada tahun 1457, beliau menubuhkan Kesultanan Sulu dan memakai gelaran "Paduka Maulana Mahasari Sharif Sultan Hashem Abu Bakr". Gelaran "Paduka" adalah gelaran tempatan yang bermaksud tuan manakala "Mahasari" bermaksud Yang DiPertuan.

Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei
menganugerahkan Sabah Timur kepada Kesultanan Sulu di atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakan di Brunei. Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu menganugerahkan Pulau Palawan kepada Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah perkahwinan Sultan Qudarat dengan puteri Sulu dan juga sebagai hadiah persekutuan Maguindanao dengan Sulu. Sultan Qudarat kemudiannya menyerahkan Palawan kepada Sepanyol. (rujuk entri bawah).

Sunday, July 20, 2008

Darihal Istana di Perak

Foto Istana Sultan Perak ke-25 (antara 1872-77).
Sultan Yusuf adalah putera Almarhum Sultan Abdullah Muhammad I, Sultan Perak yang ke 22. Semasa Sultan Jaafar, Sultan Perak yang ke-23 mangkat pada tahun 1865, dan juga semasa Sultan Ali, Sultan Perak yang ke-24 mangkat, Baginda telah tidak dipilih menjadi Raja Bendahara walaupun Baginda berhak. Ini disebabkan ramai Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak tidak sukakan Baginda.
Pada tahun 1871, Raja Bendahara Ismail telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-25 tetapi Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit telah tidak berpuas hati dengan perlantikan itu. Untuk menguatkan kedudukannya, Raja Muda Perak yang bersemayam di Senggang dan Baginda sendiri mengaku diri Baginda sebagai Sultan Perak yang ke-26, bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Marhum Habibullah.
Pada tahun 1877, Baginda telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan James W.W.Birch di Kuala Biah, Pasir Salak (pada 1875). Raja Yusuf telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak, dan Baginda telah berpindah ke Sayong, seberang pekan Kuala Kangsar. Raja Idris Ibni Almarhum Raja Alang Iskandar dibenarkan balik ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya Raja Yusuf untuk memerintah Negeri Perak. Raja Yusuf diiktiraf menjadi Pemangku raja daripada tahun 1877, manakala Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.
Istana ini dibina pada 1926. Berbentuk seperti pedang, dindingnya diperbuat daripada bilah buluh yang dianyam (kelarai) dan bermotifkan berlian. Bumbung berbentuk perabung lima seperti rumah tradisi Melayu dan perabung pisang sesikat. Istana ini siap pada 1931 dan menjadi tempat bersemayam sementara untuk Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 (1918-1938). Ketika ini Istana Negara (yang asal) dirobohkan untuk membina Istana Iskandariah.

Juga dikenali sebagai Istana Kenangan, Istana Tepas dan Istana Lembah. Muzium DiRaja Perak ini dibina tanpa menggunakan pelan arkitek atau sebarang paku. Ia terletak berdekatan Istana Iskandariah, tempat bersemayam Sultan Perak di Kuala Kangsar.


 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez