Saturday, July 4, 2009

Sultan - keistimewaan Melayu disokong



Titah Sultan Perak mengenai keistimewaan Melayu disokong

12/06/2009

Tindakan mana-mana pihak yang mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah perbuatan melampau yang tidak sepatutnya timbul selepas sekian lama negara mencapai kemerdekaan dan dinaungi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri, kata Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar.

Beliau berkata kedua-dua perlembagaan berkenaan mempunyai peruntukan yang jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

“Mana boleh mana-mana pihak mempertikaikan kepentingan Melayu dan Bumiputera kerana perkara itu telah termaktub dalam perlembagaan, malah ia merupakan perkara asas dalam perlembagaan kita,” katanya ketika diminta mengulas titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam bahawa sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Hamdi berkata perlembagaan telah dibentuk hasil rundingan semua kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan dan diputuskan secara bersama sebagai menghormati hak Melayu dan bumiputera.

(C) Bernama

Sultan Azlan Shah - Jangan pertikai kuasa Agong, Raja Melayu -


SULTAN AZLAN SHAH - Jangan pertikai kuasa Agong, Raja Melayu


IPOH 11 Jun - Sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menegaskan, perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Titah baginda, ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum.

''Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu.

''Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu," titahnya.

Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan kepada para pemimpin negara bahawa mereka mempunyai tanggung jawab politik dan tanggung jawab kenegaraan.

''Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,'' titah baginda.

Titah Sultan Azlan, penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa sama, titah baginda, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

''Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Dalam pada itu, baginda menyuarakan rasa bimbang mengenai perubahan sikap terhadap insan berilmu, cerdik pandai dan profesional yang jumlahnya makin bertambah tetapi tidak mempunyai sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang merupakan elemen penting mewujudkan kestabilan.

''Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersenda secara terbuka.

''Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian.

''Atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga alpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titah baginda.

Titah baginda, ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.



(C)PETIKAN pengarang@utusan.com.my
Majlis Wacana Ilmu sempena ulang tahun baginda yang ke-81 di Institut Tadbiran Islam Perak.

TUGAS RAJA DIMATA ISLAM BERAT


BERAT AMANAH DIBAHU SULTAN-SULTAN ISLAM


Wahai Amirul Mukminin, Rasulullah bersabda:

"Sesiapa sahaja di kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya".

Wahai Amirul Mukminin! sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan. Hendaklah Tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaipan) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah Tuanku, atau mengadakan hijab (penghalang) di antara Tuanku dengan mereka. Hendaklah Tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, tetapi bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin! Urwah bin Ruwain berkata: "Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi hingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibrail bertanya: Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?"

WahaiAmirulMukminin!Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah:

"Sesungguhnya panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya."

Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin! Ingatlah kata-kata Umar Al Khattab: ‘Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertangungiawabkan mengenainya di akhirat kelak!"

Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?"

Peringatan seperti ini sebenarnya hanya berani disuarakan oleh ulama yang mempunyai kekuatan jiwa yang luar biasa dan bekerja kerana Allah. Dalam suratnya kepada khalifah itu, Imam Auzai’ menyambung:

Wahai Amirul Mukminin! Allah telah berfirman:

"Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara di antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah’:

Shad: 26

Wahai Amirul Mukminin! Rasulullah bersabda:

"Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota daripada badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu hitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia lepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun)."


Umar Al Khattab, yang telah berkata: ‘Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat, nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak".

Umar Abdul Aziz, yang berkata: "jauhkanlah aku daripada jawatan khalifah seperti jauhnya timur dan barat. Sesungguhnya urusan ini telah menggulungkan bala di atas bahuku."

Ali Bin Abi Talib yang berkata: "Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu aku. "

Petikan ikhlas @ http://www.shalattas.com/news.php

(Disunting kerana ruang)

Sultan Muhammad Shah Melaka masyhurkan Hukum Kanun Melaka



Latar Belakang Kanun Melaka

Hukum Kanun Melaka merupakan hukum Islam pertama yang telah diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah untuk digunakan di negeri Melaka. Ia adalah karya penting yang memaparkan sejarah undang-undang di Melaka yang menjadi amalan masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan baginda. Penekanan diberikan dari segi hukum-hakam dan perundangan berhubung undang-undang perkahwinan, jual beli dan prosedur-prosedur berkaitan perkara ini juga dimuatkan bagi memperlihatkan Hukum Kanun Melaka ini adalah undang-undang Islam. Judul asal naskhah ini ialah Risalah Hukum Kanun iaitu Undang-undang. Selain merupakan karya yang tertua dan pertama dalam genrenya, kepentingan Hukum Kanun Melaka terletak pada kedudukannya yang menjadi dasar utama kepada kewujudan karya undang-undang negeri lain kemudiannya
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez