Friday, April 29, 2011

Al-Hambra lambang gemilang Dinasti Nasrid

Sultan Muhammad V dikenali sebagai seorang arkitek yang mengilhamkan seni bina yang unik dan mengagumkan yang ada pada hari ini. Kerja-kerja pembinaan yang awal dijalankan sewaktu pemerintahan Sultan Yusuf I yang memerintah sebelum Sultan Muhammad V.

Istana ini terletak di atas sebuah bukit yang diberi nama Assabika. Kompleks istana ini disiapkan oleh Sultan Muhammad V sewaktu kali kedua baginda menduduki takhta kerajaan Nasrid.

Semasa pemerintahan baginda, Granada merupakan pusat kebudayaan dan seni Islam di wilayah Eropah Barat. Ramai cendekiawan Islam dilahirkan daripada sistem pembelajaran yang diasaskan seperti dalam bidang agama, sains, sejarah, pertanian, perubatan, farmasi dan lain-lain.

Minat mendalam baginda dalam bidang seni dan kesusasteraan telah menghasilkan satu kumpulan sasterawan di dalam istana. Baginda sendiri amat meminati penulisan dan deklamasi puisi.

Salah satu gaya puisi yang digemari baginda adalah puisi tradisional Arab, tawriya. Salah seorang pemuisi Islam yang terkenal pada zaman Sultan Muhammad V ialah Ibn Zamrak.

Puisi yang dikarang oleh Ibn Zamrak dijadikan sebahagian daripada hiasan kaligrafi di dalam istana Al-Hambra.

Dipercayai terdapat lebih 10,000 hiasan kaligrafi di dalam istana Al-Hambra. Kebanyakannya adalah puisi yang diukir di atas batu dan dihiasi dengan lingkaran motif dedaun.

Motif kaligrafi diletakkan di beberapa bahagian, terutamanya di pintu gerbang dan di tiang-tiang yang menyokong seni bina Al-Hambra. Kebanyakan puisi merupakan puji-pujian kepada sultan yang memerintah kerajaan Nasrid. Antara puisi Ibn Zamrak yang terdapat di Al-Hambra ada yang menggambarkan tentang keindahan taman-taman istana ini yang bermaksud seperti berikut: "Ini adalah taman yang menyimpan khazanah yang mengagumkan, yang tiada tolok bandingnya, baginda yang menghimpunkan gambaran taman syurga di dunia, semoga Allah memberkati baginda setiap masa".

Selain puisi, Istana Al-Hambra juga terkenal dengan taman-taman botani yang terdapat di dalam kompleks istana. Taman ini dikatakan mempunyai pelbagai spesies tumbuhan yang di bawa dari kawasan luar Granada. Tumbuhan di dalam taman ini dijadikan bahan kajian para ilmuwan Islam yang bertugas di istana.

Satu lagi kawasan di dalam Istana Al-Hambra yang sering menjadi sebutan adalah Taman Singa. Nama taman ini berasal daripada rekaan air pancutan di bahagian tengah taman yang dihiasi dengan ukiran 12 singa.

Seni bina istana di sekitar kawasan taman ini mempunyai gabungan seni bina Islam dan Kristian pada waktu itu. Kawasan sekitar taman di bina dengan menggunakan 124 tiang alabaster yang menyokong ukiran gerbang yang unik, halus dan indah buatannya.

Moto yang sering digunakan oleh kerajaan Nasrid iaitu Wa la Ghalib illa Allah ('Tiada kemenangan selain Allah') diukir berulang kali sebagai hiasan di dalam Istana Al-Hambra.

Moto ini juga boleh dilihat di atas kebanyakan artifak yang dihasilkan untuk pemerintah Nasrid seperti kotak barangan simpanan, ukiran kayu dan kerusi.

Untuk mengetahui lebih lanjut sumbangan kerajaan Islam Sepanyol dalam perkembangan ilmu pengetahuan, sila lawati pameran Al-'Ilm: Sains dan Inovasi Di Dunia Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia sehingga 29 Mei 2011.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez