Sunday, October 2, 2011

SEBAK SEORANG RAJA

Awang sangat setuju dengan pandangan baginda bahawa kemusnahan ummah kini akibat pencerobohan baru, berbeza ketika zaman lampau angkara pencerobohan Alfonso di Albuquerque, Stamford Raffles, Francis Light mahupun Yamashita.

Pencerobohan baru meliputi perlanggaran kalimah suci Allah sehinggalah kepada manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.

Teks ucapan Raja Nazrin pada kongres tersebut perlu dijadikan simpanan untuk bacaan dan rujukan setiap orang Islam. Pada Awang, ia adalah dokumen ilmiah terbaik berhubung cabaran sebenar umat Islam ketika ini yang disampaikan dalam bahasa mudah. Renungkan dan kajilah sedalam-dalamnya hujah-hujah baginda sambil kita semua memeriksa diri.

Awang menjunjung kasih ke atas Tuanku Mizan, raja-raja Melayu, begitu juga Raja Nazrin kerana komitmen kental untuk terus mempertahankan asas kenegaraan dan perlembagaan.

Lebih-lebih lagi ketika negara kini berdepan dengan pelbagai asakan dalaman sama ada secara terbuka mahupun halus. Segala-galanya mahu diubah kononnya atas nama demokrasi, keterbukaan, liberalisme dan pluralisme.

Persoalannya apakah yang perlu dilakukan selepas ini? Realiti cabaran yang dihadapi oleh umat Islam bukan di dalam dewan besar, moden dan serba dingin tetapi di luar sana - seluruh pelosok tanah air. Cabaran umat Islam begitu kritikal. Ekonomi orang Islam yang merupakan golongan majoriti masih terkebelakang, kemiskinan terus menghantui, perpecahan menjadi-jadi dan kuasa politik di hujung tanduk. Maka kongres itu menuntut lebih banyak gerakan susulan untuk mencetuskan gelombang kesedaran baru.

Kekuatan dan perpaduan umat Islam akan melimpahkan faedah besar buat kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Kedaulatan Islam adalah center of gravity dalam konteks keselamatan nasional.

Pada akhir titah, Raja Nazrin sebak selepas menitipkan doa. Awang turut terharu sambil mengenangkan kian banyak pencerobohan baru, serta apa kesudahan nasib umat Islam di tanah air ini nanti.

sumber : utusan.com.my
baca lagi di sini
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez