Tuesday, December 30, 2008

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Tunku Besar Seri Menanti, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 menggantikan Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, yang mangkat Sabtu lalu.

Pemasyhuran Tuanku Muhriz yang juga anakanda saudara Almarhum Tuanku Ja'afar, diisytiharkan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Mubarak Dohak, pada istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Tuanku Muhriz adalah putera tunggal kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.

Ketika kemangkatan ayahandanya pada 1967, Tuanku Muhriz turut dicalonkan sebagai pengganti, tetapi Dewan Keadilan dan Undang memilih ayahanda saudaranya, Tuanku Ja'afar kerana baginda masih muda, iaitu 18 tahun.

Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Muhriz berjanji menjalankan pemerintahan yang adil dan saksama seperti yang ditunjukkan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar, yang memerintah selama 41 tahun.

"Beta akan menjalankan keadilan dan keselamatan sekalian hamba rakyat serta mereka di seluruh alam Negeri Sembilan," titah baginda.

Sejurus selesai bertitah, Datuk Undang Yang Empat mengadap Tuanku Muhriz disusuli penghulu Luak Tanah Mengandung, sebelum Datuk Undang Luak Sungai Ujong menyembahkan Mas Manah atau surat pemasyhuran kepada baginda. Serentak itu tembakan meriam 21 das bergema di luar Balairong Seri.

Selepas istiadat pemasyhuran yang berakhir kira-kira jam 4.15 petang, Tuanku Muhriz menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar sebelum memperkenankan istiadat pemakaman di Makam Diraja Seri Menanti, kira-kira satu kilometer daripada Istana Besar.


PROFIL: Tuanku Muhriz

  • Diputerakan pada 14 Januari 1948

  • Menerima pendidikan rendah di King George V, Seremban

  • Melanjutkan pelajaran di Aldenham School, United Kingdom dan University College of Wales, Aberystwyth dalam bidang undang-undang.

  • Ahli perniagaan dan pengarah Bangkok Bank.

  • Berkahwin dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu

  • Dikurniakan tiga putera, Tunku Ali Redhauddin, 31, Tunku Zain Al-'Abidin, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23.


  • 1 comment:

    Anonymous said...

    Very good!

     
    Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez