Monday, September 12, 2011

KUASA NEGERI TERHADAP ISLAM

Hubungan antara persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan iaitu Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Manakala DUN pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian kuasa kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Namun penulis tidak berhasrat membincangkan isu Perlembagaan ini. Cukup sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud dalam Senarai Negeri adalah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

Fokus penulisan pada kali ini adalah tentang kuasa perundangan Islam di dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan hal ehwal Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambah lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan memelihara Islam pada setiap masa sebagaimana yang tersurat dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan istimewa Islam ini bukan hanya tradisi yang berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan. Malah, sejak kedatangan Islam ke nusantara. Undang-undang adat juga membuat penyesuaian dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat.

Adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan 'adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam'.

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam, terutama dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik penjajah.

Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah ke dalam hutan. Pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan sunnah juga tidak layak menerajui kepemimpinan negeri.

Raja Melayu pula mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam ketika penjajahan juga tidak disentuh.

Dari sudut hukum syarak pula Raja-Raja berperanan besar dalam menegakkan syariat Islam. Umpamanya, Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya Al umdat wa al salik menyatakan fungsi Raja adalah menjaga hal ehwal umat Islam:

l Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara

l Memastikan syariat Allah ditegakkan

l Memastikan umat Islam belajar hukum hakam agama

l Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan

l Mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar

l Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji

l Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil dan

l Menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan.

Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya berbentuk dekorasi sahaja. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri.

Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai falsafah atau jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak difahami orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh di dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang diperuntukkan itu. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini.

Kesannya, kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala.

www.utusan.com.my

1 comment:

hilangkan parut jerawat said...

Terima kasih untuk infonya.. saya suka bacanya..

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez