Tuesday, November 2, 2010

Fungsi Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).

Budi bicara Majlis Raja-Raja

Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

(a) memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;

(b) memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan;

(c) mempersetujui atau tidak apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;

(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;

(e) pelantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau

(f) pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Keahlian

Semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu.

Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Ahli Majlis Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.

Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri. Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.

Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez