Tuesday, November 23, 2010

'Pemerintahan raja berperlembagaan harus dipertahan'

Kita sudah membuktikan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen adalah sistem pemerintahan terbaik serta paling berkesan kerana ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat.

Oleh demikian, rakyat perlu terus mempertahankan sistem ini dan tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu, katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan buku Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada oleh Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan (MAKPEN), Datuk Halim Ibrahim di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam tadi.

Penerbitan buku itu bersempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-80 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Turut berangkat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mengenai buku Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada, Najib berkata, penerbitan berkenaan membolehkan rakyat mengenali lebih dekat lagi hati budi Sultan Pahang yang terkenal dengan sifat peramah dan mudah mesra kerana ia dikarang individu yang akrab dengan baginda.

Oleh kerana buku ini adalah karya seorang individu yang akrab dengan baginda, maka sudah tentu memuatkan pelbagai peristiwa bersifat peribadi dan candid yang selama ini tersembunyi daripada umum, katanya.

Katanya, buku itu juga penting sebagai rekod sejarah yang boleh digunakan sebagai teladan serta panduan bagi generasi hari ini dan akan datang.

Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu dan tidak berminat dengan sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah serta miskin semangatnya, katanya.

www.bharian.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez