Pemasyhuran Tuanku Muhriz yang juga anakanda saudara Almarhum Tuanku Ja'afar, diisytiharkan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Mubarak Dohak, pada istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, kira-kira jam 3.45 petang semalam.
Tuanku Muhriz adalah putera tunggal kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.
Ketika kemangkatan ayahandanya pada 1967, Tuanku Muhriz turut dicalonkan sebagai pengganti, tetapi Dewan Keadilan dan Undang memilih ayahanda saudaranya, Tuanku Ja'afar kerana baginda masih muda, iaitu 18 tahun.
Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Muhriz berjanji menjalankan pemerintahan yang adil dan saksama seperti yang ditunjukkan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar, yang memerintah selama 41 tahun.
"Beta akan menjalankan keadilan dan keselamatan sekalian hamba rakyat serta mereka di seluruh alam Negeri Sembilan," titah baginda.
Sejurus selesai bertitah, Datuk Undang Yang Empat mengadap Tuanku Muhriz disusuli penghulu Luak Tanah Mengandung, sebelum Datuk Undang Luak Sungai Ujong menyembahkan Mas Manah atau surat pemasyhuran kepada baginda. Serentak itu tembakan meriam 21 das bergema di luar Balairong Seri.
Selepas istiadat pemasyhuran yang berakhir kira-kira jam 4.15 petang, Tuanku Muhriz menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar sebelum memperkenankan istiadat pemakaman di Makam Diraja Seri Menanti, kira-kira satu kilometer daripada Istana Besar.
PROFIL: Tuanku Muhriz